Thursday, December 03, 2015

Kisah kuli ke Jepun - Bahagian 8

23-Nov-2015 Isnin.

6.45 pagi. Saya sudah siap untuk makan pagi. Turun dengan jaket tebal dan beg sandang. Tiket makan saya letakkan di dalam bakul raga. Selesai mengambil makanan, saya duduk di sebelah Abg Nazli. "Chong mana?" tanya Abg Nazli. "Lewat sikit kot" jawab saya. Selesai makan, Chong tanya saya, hari ini kita ke kilang dengan siapa? "Entah. Tak diberi tahu. Tunggu saja-lah" kata saya.

7.15 pagi. Kami susah hati. "Mereka lupa kita kah?" tanya Chong. Saya dan Abg Nazli tersenyum. Arai tiba lewat 2 minit daripada kebiasaan. "Maaf, lambat" katanya sebaik pintu kereta dibuka. "Semalam pukul berapa sampai Chichibu?" tanya Abg Nazli. "11.30 malam" jawabnya ringkas, tersenyum. 7.30 pagi, kami tiba di kilang. Sama-sama tunduk hormat dan ucapan 'ohayou gozaimasu' dilafazkan. Arai masuk ke pejabat utama, kami menuju ke bahagian pembuatan. Masih awal, kami melepak sahaja sementara menunggu jam 8.00 pagi.

Maniwa-san tiba. Dia bertanyakan ke mana kami berjalan sepanjang hujung minggu. Kami kata ke Tokyo Skytree, kemudian ke Ueno park. "Masuk zoo?" tanyanya pantas. "Masuk. Kami tengok Gorilla" jawab Chong. "Ah, ikemen Gorilla!" kata Maniwa-san. "Ikemen?" saya bertanyakan kepastian. "His face very good looking. So, girl in Tokyo call as Ikemen gorilla" jelasnya dengan pasti. "Gorilla pun ikemen eh" bisik saya di dalam hati.
*Ikemen = Good looking man.

Hari ini kami dijadualkan untuk memasang komponen model baru. Saya dan Chong akan hands-on untuk memasang. Maniwa-san akan tolong kami, Abg Nazli pula akan membuat draf alatan atau mesin yang diperlukan ketika pemasangan komponen dibuat. Cikgu kami adalah Ohba-san dan Naomi-san. Mereka ramah dan baik hati. Bahasanya penuh sopan. Sambil bekerja, kami sembang-sembang juga dengan Ohba-san. Muda, tapi banyak ilmu budak Jepun seorang ni.

Tiba masa untuk demo blade kashime, mesin breakdown. Maniwa-san minta tolong Abg Nazli, selaku orang yang paling senior dalam bidang mesin. Arai dan Maekawa-san yang kebetulan ada di kawasan pun sibuk-sibuk menghadap kami. Sengih sana, sengih sini. Mereka memang begitu. Kalau di dalam pejabat, nak senyum pun susah. Malangnya, dalam keramaian kumpulan pakar yang ada, tiada seorang pun yang tahu benar apa error yang mesin ini maksudkan. Tak apalah, di Malaysia pun banyak mesin ini dengan fungsi hampir sama. Dalam kecoh-kecoh mencari pakar, Arai sudah maklumkan kepada Ohba-san untuk bawa kami makan malam ini. Licik!

Sebelum pulang, Ohba-san pesan, nanti saya jemput di hotel sekitar jam 6.00 malam ya! Kami pulang ke hotel dengan Maniwa-san memandangkan orang lain bakal pulang lewat. Kebiasaan di Jepun, susah nak jumpa orang yang sharp jam 5.00, hilang daripada pandangan mata.

Jam 6.00 petang, Ohba-san menanti di lobi hotel. "Kita makan sushi malam ini!" kata Ohba-san. Chong menoleh ke arah saya. Teringat pesanan Kagara-san sabtu lalu barang kali. "I tak cakap apa-apa pun dengan Arai pasal sushi" kata saya mengesahkan. Kagara-senpai pesan pada saya, nanti balik Chichibu, minta Arai bawa pergi makan sushi. Tiba di kedai sushi, kawasan parkir nampak penuh. Kebetulan hari ini cuti umum, maka penuhlah kedai makan. Ibu bapa juga ambil peluang untuk makan bersama-sama dengan anak-anak. Kena ambil giliran. "Table for 6!" kata Ohba-san. Kami hanya berempat. "Arai-san datang kemudian. Masih di kilang" kata Ohba-san kepada saya.

Lebih kurang 30 minit berlalu, kami dapat tempat. Sengaja pilih yang paling hujung. Boleh jadi sekejap lagi 'penuh' gelak tawa. Ohba-san siapkan matcha untuk setiap orang. Kemudian bertanyakan pesanan makanan. Kalau kita pesan, sushi akan dihantar menggunakan express train di rail tingkat atas. Jika mahu ambil saja apa yang ada, sushi sudah pun tersedia di rail bawah. Disebabkan pesanan dibuat melalui i-pad, maka kami tukarkan bahasa ke English bagi kemudahan bersama. 

Selang 20 minit, Arai, Tanaka-san dan Maekawa-san tiba. Mereka ambil tempat duduk masing-masing. "Ohba-san.." panggil si Arai. Nak order sesuatu. "Sekejap, sekejap. Nak tukar bahasa Jepun" kata Ohba-san. "Eh, ada English!" kata Arai terkejut. Yang lain turut tergelak dengan ragam dua orang ini. Kami pesan macam-macam. Dari ikan bawa ke sotong, kemudian udang dan tiram. Kami geram melihat susunan pinggan yang ada dihadapan Ohba-san. Kuat makan. Ada juga yang pesan ramen dan telur stim di dalam cawan. Ohba-san tanya, nak tak? "Boleh-lah" jawab saya ringkas. Saya tak suka menolak pelawaan mereka andai belum ditahap haram.

Telur stim sampai. Saya masih sibuk dengan sushi. Tanaka-san dan Maekawa-san sudah makan. Apabila saya buka penutup cawan, saya dapati ada cendawan, isi ketam dan telur. Saya ceduk bahagian atas dan makan. Tapi disebabkan panas, saya bertangguh. Maekawa-san sudah fasa akhir, sedikit lagi perlu dihabiskan. "Eh, ada isi ayam!" kata Maekawa-san. Cepat-cepat dia beritahu saya. Tanaka-san serba salah. Arai terkejut. "Nasib baik belum sampai bawah" kata saya, menghilang risau yang lainnya. "Tak payah la makan, jangan paksa diri" kata Chong. Saya tersenyum. Abg Nazli dan saya, kami sama-sama kata tak apa. Tak makan pun ayam tu. Saya tinggalkan telur stim itu tanpa menghabiskannya, belum tahap mampu muntahkan apa yang telah ditelan tadi. Moga Allah memaafkan.

Cuma saya berpendapat mereka memahami 'isi ayam' sama tarafnya dengan 'daging babi' di sini. Jangan risau, kalau daging babi di sebelah pun saya tak kisah. Bukan saya yang makan. Terima kasih Maekawa-san sebab perihatin!

Kami berborak sakan. Gelak sampai pecah perut terutamanya apabila melihat Ohba-san makan. Tak rugi bawa dia ni datang makan. Puas. Perut sudah kenyang, masa untuk kira semua pinggan yang ada di atas meja. Jumlah pinggan, sila rujuk gambar.

New mirror-less shutter manufacturing technology expertise team
Keluar daripada kedai, saya terdengar perbualan antara rakan-rakan Japanese yang lain. "Lepas ni nak masuk restoran mana pula?" tanya salah seorang daripada mereka. Yang pastinya bukan Arai kerana dia berada di sebelah saya. Sambil berjalan, saya tanya nomikaika? "Tak adalah" jawabnya tegas. Arai hantar kami pulang ke hotel, yang lainnya pulang terus ke rumah. Jumpa lagi esok!

2 comments:

カワリモノ留美 said...

ayam tanpa sembelih, hukumnya najis. yep, kalau tak terkena taktau jugak. sb chawan mushi ada byk version dan tak sama setiap kedai. ada yg tak letak isi ayam. ada yg letak. tp tak pernah jumpa setakat ni daging khinzir (for sure)... so takpe lah.

Dalila Nizam said...

Faham, hukum najis. Sebab tu, bila diberitahu ada ayam, terus tinggalkan. Tak makan terus chawan mushi tu.